Tuesday 7 August 2012

Kelebihan Azan dan Iqamah

 i.   Sehingga Orang Sanggup Berundi Untuk Medapatkannya 

Hadis daripada Abu Hurairah katanya: 

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seandainya manusia mengetahui tentang apa (kelebihan) dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak akan mendapatkannya melainkan dengan mereka berundi, nescaya mereka akan berundi. Seandainya mereka mengetahui apa (kelebihan) pada at-tahjir (sembahyang zohor di awal waktu) nescaya mereka akan berlomba-lomba mendapatkannya. Seandainya mereka mengetahui apa (kelebihan) pada al-‘atamah (sembahyang isya’) dan subuh nescaya mereka mendatanginya walaupun dengan merangkak-rangkak.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
   ii.   Dipohonkan Ampun Dan Mendapat Pahala Sepertimana Pahala Orang Yang Bersembahyang Dengannya
Hadis daripada al-Bara’ bin ‘Azib katanya:
Maksudnya: “Bahawasanya Nabi Allah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya mengucapkan selawat kepada (makmum-makmum) di baris hadapan. Sementara orang yang azan akan dipohonkan ampun baginya sejauh suaranya dan akan dipersaksikan dia  oleh sesiapa yang mendengarnya daripada tumbuhan yang hidup dan kering dan baginya pahala seperti pahala sesiapa yang bersembahyang bersamanya.”
(Hadis riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)

     iii. Mengusir Syaitan 
Hadis daripada Abu Hurairah katanya: 
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila dilaungkan azan untuk sembahyang, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqamah untuk sembahyang diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqamah itu baharulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mengwas-waskan). Dia akan berkata: “Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati, sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersembahyang.”
(Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’ie)
    iv. Mendapat Pahala Yang Banyak  
Sebagaimana di dalam hadis daripada Mu‘awiyah katanya: 
Maksudnya: “Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Muazzin-muazzin itu ialah orang yang paling panjang lehernya di hari qiamat.”
(Hadis riwayat Muslim)
Adapun yang dimaksudkan dengan orang yang paling panjang lehernya di hari qiamat itu ialah disebabkan dia melihat pahalanya yang banyak.
Menurut an-Nadhr bin Syumail, adapun kelebihannya ketika berada di padang mahsyar melepaskannya daripada kesusahan dan kesesakan disebabkan ramainya orang pada hari perhitungan itu.
Menurut pendapat yang lain, bahawa orang itu banyak pengikutnya. Kata Ibnu al-A‘arabiy, maksudnya ialah orang yang banyak amalannya. Sementara menurut al-Qadhi ‘Iyadh dan yang lainnya ialah bermaksud orang yang cepat masuk ke dalam syurga. Dikatakan juga ianya bermaksud sebagai ketua. (Syarah Shahih Muslim: 2/77)
  v.  Balasan Syurga
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Barangsiapa azan selama dua belas tahun wajiblah baginya syurga dan ditulis untuknya dengan azannya itu pada setiap hari enam puluh kebajikan dan pada setiap iqamah pula tiga puluh kebajikan.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
 vi.  Jin Dan Manusia Serta Selainnya Menjadi Saksi Di Hari Qiamat 
Sebagaimana hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman katanya: 
Maksudnya: “Sesungguhnya Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallahu ‘anhu berkata kepadanya (‘Abdullah bin ‘Abdurrahman): “Sesungguhnya aku melihat engkau menyukai kambing dan sahara. Jika engkau berada di lingkungan kambing atau saharamu lalu engkau azan untuk sembahyang, maka tinggikanlah suaramu ketika melaungkannya. Kerana tidak didengar suara orang yang azan oleh jin dan manusia serta lain-lainnya melainkan menjadi saksi baginya di hari qiamat. Berkata Abu Sa‘id: “Aku mendengarnya daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan an-Nasa’ie)

vii.   Pintu Langit Dibuka Dan Saat Doa Mustajab 
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: 
Maksudnya: “Jika dilaungkan iqamah untuk sembahyang, maka dibukakan pintu-pintu langit dan dimakbulkan doa.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ada dua waktu tidak ditolak doa orang yang berdoa, iaitu ketika iqamah sembahyang dan dalam barisan jihad pada jalan Allah.”
(Hadis riwayat Ibnu Hibban) 

No comments: